PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meminta pengamal media di negara ini lebih telus ketika membuat laporan terutamanya ketika memetik sumber tidak bernama.
Beliau merujuk laporan media tempatan berkenaan Tesla tidak jadi membina kilangnya di Asia Tenggara dengan memetik akhbar Thailand.
“Pertamanya, laporan tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama. Jadi, bila ditanya, jawapan saya ialah wartawan perlu semak kesahihan berita ini dengan Tesla, kerana sumber berita ini bukanlah Tesla.
“Kedua, MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) pun tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,” katanya menerusi laman X malam tadi.
Zafrul turut menafikan syarikat automatif dan tenaga bersih itu mendapat keistimewaan kerana sehingga kini, hanya Tesla yang memohon dan diluluskan penyertaannya dalam inisiatif Global BEV ini.
“Tujuan inisiatif ini ialah untuk meningkatkan rangkaian pengecas untuk kegunaan pemilik kenderaan EV tempatan dan juga meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem pengecasan EV.
“Melalui program yang serupa, negara seperti China, Hong Kong, dan Norway telah mempercepatkan peralihan kepada kenderaan elektrik. Apabila ini berlaku, banyak PKS tempatan mendapat manfaat daripada penyertaan dalam ekosistem EV.
“Jadi, bila kata Tesla dapat layanan istimewa, tak betul tu, mana-mana syarikat pun boleh memohon untuk inisiatif ini,” katanya.
Tambahnya lagi, strategi untuk menarik pelaburan dalam industri automotif tidak terhad kepada Tesla sahaja dan katanya MITI akan terus berusaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia.
“Sekali lagi saya ulang, MITI atau mana-mana agensinya tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia.
“Dari 2022 hinggalah suku pertama 2024, kita telah menarik pelaburan bernilai RM24.55 bilion dalam aktiviti pembuatan berkaitan EV daripada syarikat seperti Chery, Gemilang Coachwork, Samsung SDI Energy, NexV Manufacturing dan EVE Energy.
“Pengeluar tempatan kita turut menyokong rantaian bekalan global Tesla dengan membekalkan alat ganti, komponen dan sistem automasi kilang kepada mereka,” katanya,
Terdahulu, kecoh berkenaan Tesla tidak jadi membuka kilangnya di Malaysia, Thailand dan Indonesia kerana faktor ekonomi global.