PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini mengeluarkan perintah hak jagaan sementara adik lelaki kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin kepada nenek saudaranya.
Keputusan itu dibuat Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas proses perundingan selama sejam antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan peguam keluarga, Nurul Ikrimah Mohd Raya.
Nurul Ikrimah berkata, nenek saudara kanak-kanak itu diberikan hak jagaan selama dua bulan sehingga 4 Oktober depan.
Namun katanya, bapa dan ibunya, Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, boleh bertemu anak mereka dengan beberapa syarat antaranya boleh meluangkan masa tidak lebih lapan jam, sekali dalam masa seminggu.
“Ibu bapa kanak-kanak itu iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf boleh bertemu anak keduanya itu seminggu sekali hanya dalam tempoh lapan jam.
“Malah, mereka boleh melakukan panggilan video tanpa had. Mahkamah juga memutuskan ibu bapa kandung perlu membawa kanak-kanak itu ke pusat terapi khas sebulan sekali,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurutnya, sepanjang tempoh perjumpaan, kanak-kanak itu perlu ditemani penjaga yang juga nenek saudaranya.
Pada 14 Jun lalu, JKM memperoleh perintah jagaan sementara selama dua bulan terhadap adik kepada Zayn Rayyan.
Perintah jagaan itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam di bawah Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebelum itu, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.