Pulihara kemerdekaan adalah tanggungjawab bersama – Johari

KUALA LUMPUR: Kemerdekaan negara yang telah diwariskan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj harus sentiasa dipulihara dan menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, meskipun berbeza latar belakang dan fahaman politik, usaha itu perlu digalas bersama demi membangunkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Apabila kita merdeka, negara tidak boleh kembali seperti dahulu, kita perlu pastikan kestabilan politk, pembangunan ekonomi yang teratur dan kesejahteraan rakyat, ini sangat penting.

“Tidak kira parti politik, kita bertanggungjawab untuk memastikan kestabilan politik, pembangunan ekonomi yang baik dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka di ibu negara.

Terdahulu, Johari menerima Baton Jalur Gemilang sebagai kesinambungan jelajah Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP).

Pada Sabtu, Baton Jalur Gemilang diserahkan kepada Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil sebagai simbolik permulaan jelajah KMJG peringkat WPKLP.

Anda Mungkin Berminat