Ketua Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan rayuan babitkan insiden pembatalan penyertaan Datuk Azizulhasni Awang ditolak oleh Ketua Komisar pada perlumbaan keirin lelaki.
Menerusi satu kenyataan Hamidin berkata, pihaknya cuba membantu Azizulhasni dengan mengemukakan rayuan namun kesilapan teknikal ‘The Pocket Rocketman’ itu tidak diendahkan, sekali gus penyertaannya dibatalkan.
“Saya memaklumkan bahawa pihak kami telah mengemukakan rayuan terhadap insiden membabitkan pembatalan penyertaan Mohd Azizulhasni Awang OLY pada perlumbaan keirin lelaki sebentar tadi.
“Bagaimanapun, Ketua Komisar dan wakil badan induk dunia Persatuan Basikal Antarabangsa (UCI) mengekalkan keputusan membatalkan penyertaan Azizulhasni akibat memintas ‘derny’ atau motosikal yang menentukan rentak di hadapan kelompok pelumba sebelum motorsikal keluar daripada gelanggang perlumbaan.
“Kontinjen Malaysia dengan berat hati menerima keputusan ini dan akan memberi sokongan moral tidak berbelah bagi kepada beliau.
“Pada masa yang sama pihak Institut Sukan Negara (ISN), juga akan menyediakan perkhimatan sokongan kepada Azizulhasni dalam berdepan dengan situasi yang sukar ini,” katanya.
Dalam pada itu, Azizulhasni hanya berdiam dan masih terkejut selepas dibatalkan penyertaan dalam pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Nasional Perancis pada Sabtu.
Insiden tersebut meruntun jiwa seluruh rakyat Malaysia dan ketua jurulatih skuad negara, John Beasly, berkata Azizulhasni merupakan individu paling terkesan dengan keadaan itu.
“Dia amat senyap, dia masih terkejut. Saya fikir ia terlalu menyedihkannya. Ia terlalu sukar untuk diterima. Ia pasti berbeza jika anda dapat berlumba tetapi anda tidak dapat.
“Jadi, bagi saya, dia dalam keadaan terkejut, sama seperti kita semua. Tetapi pada akhirnya, dia yang terkesan paling teruk kerana ini kariernya.
“Bagi saya, saya dapat rasa apa yang dia rasakan. Saya akan sentiasa berada di sisinya. Tidak banyak yang kita boleh lakukan,” katanya.