Oleh: Shafira Aziz
KUCHING: Sejarah Sarawak yang merangkumi era penjajahan Raja Brooke hingga penubuhan Malaysia, wajar didokumentasi sebagai bahan sejarah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan bahawa sejarah Sarawak kurang diberi tumpuan di peringkat kebangsaan, termasuk dalam kurikulum sekolah, walaupun negeri itu memainkan peranan penting dalam pembentukan negara.
“Setakat ini, kalau kita lihat di peringkat kebangsaan sekalipun, sejarah Sarawak kurang dipertontonkan dan kurang didokumenkan.
“Malahan kalau kita mengkaji di peringkat sekolah, kurang sekali bahan-bahan mengenai sejarah Sarawak dimasukkan dalam kurikulum,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Makan Amal Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2024 yang dianjurkan oleh Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR) di Kuching, Sarawak, malam tadi.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada PVTKR atas usaha mendokumenkan sejarah penubuhan Kor Renjer dan Sarawak Renjer yang telah banyak menyumbang kepada keselamatan dan keamanan negara khususnya di Sarawak.
Dalam majlis tersebut, Fadilah juga melancarkan buku Agi Idup Agi Ngelaban, yang merupakan hasil karya Profesor Dr Neilson Ilan Mersat, Dr Regina Garai Abdullah dan Leftenan Kolonel (B) Mohd Melintang Abdullah.
Buku tersebut memaparkan sejarah perjuangan dan pengorbanan pahlawan dari Sarawak yang telah banyak berjasa dalam mempertahankan negara.