PETALING JAYA: Berpakaian jenama antarabangsa tetapi dalam masa sama bercakap mengenai kesusahan rakyat seperti tidak ‘kena’ dengan karektor Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.
Hal itu disuarakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyindir Annuar Musa berjaket jenama Louis Vuitton (LV) ketika memberi sumbangan kepada pengundi Orang Asli semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri di Nenggiri baru-baru ini.
Menurutnya, tular juga beberapa gambar Annuar Musa memakai jam tangan dan selipar LV yang turut mengundang reaksi kurang senang dengan situasi tersebut.
“Betullah, itu pitih dia. Tetapi berpada- padalah. Lain kali jangan ‘over’ bila cakap rakyat hidup susah. Tetapi kamu pula pakai LV.
“Berlakonlah sikit. Pakai kopiah dan kain pelekat cop gajah duduk,” katanya.
Sebelum ini, Puad turut sinis dengan kenyataan Annuar yang bangga dengan kehadiran tujuh bekas Ketua Pemuda UMNO berceramah bersama beliau di Felda Perasu.
“Dalam politik istilah ‘bekas’ atau ‘kalau’ tidak laku. Seperti bekas PM atau kalau jadi PM. Apa lagi bekas menteri seperti Hamzah, Azmin dan Annuar. Semua itu orang kecewa.
“Termasuk tujuh bekas Ketua Pemuda UMNO itu. Mereka setaraf. Semua itu Hang Jebat derhaka yang mampu pakai baju Louis Vuitton,” sindirnya.