Che Sayang Kitchen dinobat ‘Creator of the Year’ Anugerah TikTok Malaysia 2024

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Che Sayang Kitchen dinobat sebagai ‘Creator of The Year’ di Anugerah TikTok Malaysia 2024, malam tadi.

Che Sayang atau nama sebenarnya, Abdul Qayyum Khalid yang dikenali dengan siri “dua minit satu resepi” itu menewaskan lima pencabar lain yang tercalon dalam kategori sama iaitu Ryan Bakery, Sofyank, Shi Qi, Daddy Hood dan Sofea Shra.

Che Sayang berkata, kejayaan tersebut adalah asil sokongan keluarga, rakan pencipta kandungan dan pengikutnya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi, saya rasa mustahil hendak capai tetapi hasil kerja keras dua kali ganda, ini semua berjaya direalisasi.

“Terima kasih kepada keluarga, semua yang menyokong dan yang undi hari-hari. Kalau anda boleh bermimpi anda boleh kerja keras untuk capai mimpi tersebut,” katanya.

Beliau yang juga seorang jurutera data menyifatkan kejayaan itu adalah hasil sokongan peminat dan keluarga khususnya ibu beliau atas perkongsian resepi yang diwarisi.

“Sebelum ini saya dah berniaga banyak benda dan banyak yang tak jadi. Kemudian pada tahun 2023, saya kata saya akan kembali, walau apa jadi pun, saya nak buat sampai jadi,” katanya.

Anugerah itu turut memperkenalkan kategori istimewa iaitu ‘Changemaker of The Year’ bagi mengiktiraf pencipta kandungan yang memberi impak besar serta positif kepada komuniti.

Ia diraih Brader Wheelchair atau Nur Izhar Idham, individu orang kurang upaya, OKU yang giat menyebarkan kesedaran tentang kemudahan OKU di negara ini selain ianya turut diraih Lokohopunoh Group.

Dalam pada itu, ‘Celebrity of The Year’ dimenangi oleh pelakon dan penyanyi, Bella Astillah dan bagi kategori pilihan popular iaitu ‘TikTok Live Creator of The Year’ dimenangi oleh Acap S, ‘Video of The Year’ (Agy Officila) dan ‘TikTok Shop Creator of The Year’ (Pinn Yang).

Manakala bagi kategori pilihan juri iaitu ‘Entertainment Creator of The Year’ pula dimenangi oleh Kanafly, ‘Animation Creator of The Year’ (Yimotapir), ‘Gaming Creator of The Year’ (Kingshahx), ‘Sports Creator of The Year’ (Amaranas), ‘Food Creator of The Year’ (Tang Guo Shop), ‘Education Creator of The Year’ (Aminxabid) dan ‘Beauty and Fashion of The Year’ (Aishah Rahim).

Tiktok Awards Malaysia yang berlangsung di ibu negara malam tadi dianjurkan buat tahun kedua bagi menghargai bakat dan karya pencipta kandungan tempatan.

Anda Mungkin Berminat