Komen berpada-pada kepada atlet – Lee Chong Wei

Oleh: Hanim Nadia

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menasihati masyarakat supaya menekankan kepentingan memberikan sokongan dan maklum balas yang membina kepada atlet Malaysia.

Beliau juga menggesa netizen supaya tidak berselindung di sebalik profil tanpa nama untuk membuat kenyataan menghina atlet berikutan tamatnya Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ahad.

“Jangan sesekali menjadi wira papan kekunci. Pasukan Malaysia telah mempamerkan persembahan cemerlang sejak dua minggu lepas. Sukan sebenarnya telah menyatukan negara. Sama ada anda Jenis-C, Jenis-Kilat, mahupun Satu demi Satu, semua orang akan mengaktifkan mod ‘Saya Anak Malaysia’ dan berkumpul di kedai mamak untuk memberi sorakan kepada skuad negara.

“Kepada para atlet, anda ialah wira dan wirawati. Terima kasih kerana memberi persembahan yang sangat baik. Belajar daripada pengalaman ini dan lakukan lebih baik pada masa depan. Abaikan teguran negatif, tetapi ambil maklum balas membina.” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Chong Wei yang memenangi tiga pingat perak Olimpik berturut-turut dalam perseorangan lelaki di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 mengakui bahawa dia akan bersuara apabila menyedari sesuatu yang tidak kena berlaku kerana sangat mengambil berat tentang negara dan ingin berkongsi pengalamannya.

Dalam pada itu, Chong Wei juga memberi kata-kata semangat kepada atlet negara untuk terus mencuba di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Saya berharap usaha untuk Los Angeles 2028 kena berlaku segera. Atlet, jurulatih dan badan-badan sukan harus menggunakan pengalaman di Paris dan meningkatkan usaha untuk impian emas empat tahun nanti,” katanya.

Terdahulu, Malaysia menamatkan kempen Olimpik Paris 2024 dengan dua pingat gangsa dalam acara badminton melalui beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia.

Anda Mungkin Berminat