PM terima baik keputusan Olimpik Paris 2024, fokus tingkat prestasi atlet

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri hari ini mengumumkan kesediaan kerajaan untuk menyiapkan kerangka baharu bagi meningkatkan industri sukan dan olahraga dalam negara bagi menghadapi pertandingan peringkat antarabangsa di masa hadapan.

Sambil menerima baik pencapaian atlet negara pada Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu adalah bagi meningkatkan pencapaian selari dengan tumpuan negara di depan melalui sukan.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya meminta rakyat Malaysia dan peminat sukan khususnya supaya tidak mengeluh dengan pencapaian wakil negara kerana mereka sudah berusaha.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan dan anak-anak yang terbabit dalam sukan Olimpik, mereka berusaha sebaik mungkin.

“Kita menerima baik keputusan…berhubung harapan dan masa depan mereka, kita akan menyiapkan beberapa kerangka baharu untuk meningkatkan prestasi sukan dan olahraga dalam negara.

“Kita harus tumpu ke depan tapi sementara itu, janganlah mengeluh kerana anak-anak olahragawan sudah berusaha sedaya upaya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 melabuhkan tirainya malam tadi (awal pagi Isnin waktu Malaysia) selepas 19 hari aksi sukan bertaraf dunia.

Malaysia yang dibarisi 26 atlet memperoleh dua pingat gangsa menerusi kem badminton dan mengakhiri kempen Paris 2024 pada kedudukan ke-80.