Oleh: Farah Faizal
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, di Istana Negara pada Selasa.
Shamsul Azri yang merupakan bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), dilantik sebagai KSN ke-16 berkuat kuasa 12 Ogos.
Beliau menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang tamat kontrak perkhidmatan pada 10 Ogos lalu.
Turut hadir bersama dalam pertemuan itu ialah mantan KSN, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menerima kunjungan KSN di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, beliau telah menyampaikan amanat kepada Shamsul Azri supaya menjunjung tinggi prinsip tatakelola dalam menggalas amanah, serta perlu bekerja keras untuk memastikan dasar kerajaan berjalan dengan baik demi kemakmuran rakyat dan negara.
“Perbincangan kami turut menyentuh mengenai struktur gaji baharu penjawat awam yang bakal diumumkan ketika Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) dan dalam pembentangan Belanjawan 2025, insya-ALLAH,” menurut hantaran itu.