Pakar HQE2, UMS laksana pembedahan otak pesakit secara sedar

Oleh: Syafira

KOTA KINABALU: Pakar dari Hospital Queen 2 (HQE2) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melakukan pembedahan otak ke atas seorang pesakit yang mengalami kecederaan otak traumatik (TBI) baru-baru ini.

Ketua Jabatan dan Perunding Pakar Bedah Saraf HQE2, Dr Mohd Sofan Zenian berkata pembedahan tersebut dijalankan secara sedar untuk menilai fungsi sarafnya secara intraoperatif.

“Pesakit menghidap pendarahan subdural kronik kiri (SDH) yang mengakibatkan dia mengalami sakit kepala yang teruk, penglihatan kabur, pertuturan yang tidak jelas dan kelemahan badan di sebelah kanan.

“Kami segera menghantarnya ke dewan bedah untuk menjalani mini kraniotomi untuk mengalirkan darah beku yang lama memandangkan fungsi sarafnya semakin merosot,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pensyarah Kanan dan Pakar Neuroanaestetik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Dr Yeap Boon Tat menyatakan prosedur yang dilakukan tersebut adalah tepat pada masanya.

“Prosedur tersebut dapat mengelakkan dari kesan sampingan pembiusan secara tidur dan mengurangkan keperluan pesakit untuk dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Terdahulu, pesakit berusia 88 tahun itu mengalami kecederaan apabila terjatuh ketika berjalan kaki di taman perumahannya.

Untuk info, pembedahan tersebut merupakan kali ketiga dilakukan secara sedar oleh pihak HQE2 dan UMS yang sebelum ini melibatkan pesakit dengan ketumbuhan di otak.

Anda Mungkin Berminat