Oleh: Liyana Marzuki
SUKAN Olimpik Paris menutup tirainya pada Ahad. Malaysia dapat tempat ke-80 dengan dua pingat gangsa. Melenyapkan impian ramai rakyat Malaysia untuk saksikan negara perolehi emas pertama.
Seperti kebiasaan, ‘staple sport’ kita yang memberi sumbangan iaitu badminton dengan beregu dan perseorangan lelaki menyumbang kepada pingat. Ada peningkatan. Kalau dulu kategori lelaki sahaja yang kita kuat, sekarang nampak potensi untuk kategori wanita pula. Mereka dapat tempat ke-4.
Satu lagi sukan yang kita upaya ialah sukan berbasikal. Nak luruh jantung semua orang bila Rocketman kita dibatalkan penyertaan. Buatkan impian untuk emas melalui beliau terkandas.
Semalam pula, ramai lepas geram dengan atlet Jepun jatuhkan atlet kita. Walaupun tergolek, Firdaus Shah tamatkan perlumbaan dengan tempat ke-4 (setelah diadili, tempat ke-6). Ada potensi sangat besar untuk Olimpik LA 2028.
Pelaburan negara untuk sukan berbasikal ini bukan calang-calang. Datuk Azizulhasni Awang dihantar berlatih dan belajar di Australia bertahun-tahun lamanya. Berjuta-juta dihabiskan. Sebab satu kesilapan yang tak disengaja, ramai melopong akhirnya. Netizen ramai yang mengamuk juga.
Tapi disebabkan dia pernah menang Piala Dunia, ada juga jasanya pada negara, ramai juga yang ‘backup’. Kalau bengang dan hampa sekali pun, kita simpan di dada. Nak mengamuk sakan pun tak guna.
Perlu reformasi
Malaysia dapat pingat gangsa di Olimpik sejak 30 tahun dulu. Zaman adik beradik Sidek. Sampai la ni tiada peningkatan malah makin merudum prestasi.
Di mana silapnya? Kita harus teliti. Lagi kita perlu muhasabah diri, bila negara kurang membangun seperti Pakistan pun boleh dapat pingat emas.
Road to Gold Olimpik yang gagal kali ini. Perlukan intervensi. Perlukan reformasi.
Yang paling utama, perbetulkan struktur yang ada. Jawatan Persatuan Sukan, bagilah pada profesional. Bukan dinosaur politik dan kroni mereka.
Ini Rakyat dah bercakap lama. Kita tunggu Kerajaan mana yang boleh lakukannya.
Apapun tahniah, atlet Malaysia yang telah membawa obor negara. Kami rakyat biasa doakan anda suatu hari nanti boleh buat kami bangga.
Bawa kilauan emas Olimpik pulang ke Malaysia. Harap kami tidak perlu menunggu lama.
***Penulis adalah aktivis politik dan sentiasa berkongsi pandangannya mengenai politik di media sosial