Oleh: Wahida Ramlan
PETALING JAYA: Abang kepada penyanyi Aufahanie, Muhammad Nidza Afham Mokhtar dilaporkan hilang selepas keluar berjoging dan keluarga menemui dompet dan telefon bimbit miliknya di sekitar kawasan jambatan Sungai Klang, malam tadi.
Menurut ibu kepada mangsa, ketika ini tiada perkembangan yang dilaporkan dan ahli keluarganya masih dalam misi pencarian mencari Afham.
“Setakat ini tiada sebarang perkembangan, kami dalam pergerakan berpecah-pecah bersama adik-beradik lain dan ada yang pergi ke jambatan yang kita jumpa dompet dan telefon bimbitnya.
“Lepastu kita juga ada melihat kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di persekitaran dan menghantar maklumat berkenaan kepada pihak polis yang mengendalikan kes ini,” kata ibu mangsa ketika dihubungi Malaysia Bangkit sebentar tadi.
Tambahnya lagi, setakat ini tiada perkembangan yang dilaporkan dan misi pencarian masih diteruskan.
Sementara itu, kakak Afham turut berkongsi maklumat terperinci mengenai kronologi kehilangan adiknya itu menerusi ciapan di laman X
“Kami dah semak telefon bimbitnya, tak ada unsur pergaduhan atau pinjaman kepada Ahlong. Semua dalam keadaan baik. Adik saya habiskan lariannya juga,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk mendoakan kesejahteraan dan keberadaan adiknya. Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, boleh hubungi 011-10217071 ataupun 013-2735254.
Nur Aufahanie Mokhtar merupakan seorang penyanyi wanita Malaysia yang dikenali menerusi program amatur Vokal Mania dan juga salah seorang peserta I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga. Pada tahun 2022, beliau melancarkan single pertamanya berjudul “Geming Jiwa”.