PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Rais (Presiden) Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia.
Menurut hantaran di akaun Facebook Anwar Ibrahim, pertemuan kedua-dua pemimpin politik itu berlangsung di Seri Perdana pada Selasa dengan menyentuh usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Rusia dengan dunia Islam, khususnya membabitkan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Perbincangan kami turut menyentuh penyertaan Malaysia ke dalam gabungan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).
“Saya mempertegaskan komitmen Malaysia untuk menyertai gabungan ini, seperti mana yang telah dinyatakan kepada Rusia sebelum ini,” katanya.
Anwar berkata, pertemuan itu turut membincangkan kerjasama dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam sektor halal, selain usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Rustam Minnikhanov di Istana Negara pada Selasa.
Menurut hantaran di akaun Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pertemuan kedua-dua sahabat lama itu berlangsung kira-kira 45 minit dengan menyentuh peluang kerjasama antara Tatarstan dan Malaysia.
Republik Tatarstan adalah sebuah wilayah majoriti Islam dalam Persekutuan Rusia.