99 Speed Mart lancar IPO terbesar di Malaysia dalam tempoh 7 tahun

Oleh: Farah Faizal

KUALA LUMPUR: Pasar raya mini, 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Malaysia, yang dijangka mengumpul sehingga RM2.3 bilion untuk penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Tawaran awam permulaan (IPO) pengendali rangkaian kedai serbaneka itu merangkumi penjualan sebanyak 1.028 bilion saham biasa sedia ada dan terbitan awam 400 juta saham baharu pada harga RM1.65, untuk perolehan dana sebanyak RM660 juta.

Berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 8.4 juta saham dan harga tawaran RM1.65 sesaham, permodalan pasaran 99 Holdings dijangka berjumlah RM13.9 bilion.

IPO itu disokong oleh 14 pelabur utama termasuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan pengurus aset, yang meliputi 55 peratus daripada saiz urus niaga.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah berkata, pelancaran prospektus IPO ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat.

“Selama bertahun-tahun, kami telah mewujudkan asas yang kukuh dengan rangkaian luas pasar mini kami, yang memberi perkhidmatan kepada kira-kira 1.1 juta pelanggan setiap hari di seluruh negara berdasarkan transaksi jualan yang direkodkan dalam tahun kewangan yang berakhir pada 2023.

“PO ini akan memberikan kami dana yang diperlukan untuk meluaskan jangkauan kami dan meningkatkan operasi kami.

“Kami teruja untuk memulakan fasa seterusya dalam perjalanan korporat kami, memperkukuh pengiktirafan jenama kami dan tagline kami “Near n’ Save”, yang menekankan kemudahan dan akses mudah untuk pelanggan kami, menjimatkan masa dan wang mereka,” jelasnya, memetik The Edge pada Khamis.

Sekiranya berjaya, IPO ini akan mengumpul dana paling banyak di Bursa Malaysia sejak Julai 2017, apabila Lotte Chemical Titan Holding Bhd mengumpul RM3.77 bilion.

Menerusi prospektus IPO syarikat, 99 Holdings memperuntukkan lebih separuh daripada hasil terbitan awam, iaitu RM389 juta atau 58.9 peratus untuk pengembangan rangkaian cawangannya.