‘Bahagialah di syurga firdausi, Am’ – Aufahanie

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’ adalah peribahasa yang tepat bagi menggambarkan pemergian Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, yang bukan sahaja diratapi ahli keluarganya, malah menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.

Meninjau ke media sosial adik kepada Allahyarham, Nur Aufahanie Mokhtar, 21, menyifatkan abangnya sebagai insan paling baik pernah ditemui sepanjang hayatnya.

“Terima kasih Allah, kau pinjamkan kami sekeluarga insan yang sangat baik hati, hebat, ikhlas, kuat.

“We love you, Am. I love you. Bahagialah di syurga firdausi ya..,” tulisnya di Instagram.

Terdahulu, Nidza Afham yang juga bekas peserta I Can See Your Voice 3 dilaporkan hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, Selangor, kira-kira pukul 11.53 malam semalam.

Begitupun, dompet dan telefonnya ditemui di Jambatan Sungai Klang dan sejurus selepas itu satu laporan polis telah dibuat oleh keluarganya.

Aufahanie turut berkongsi tangkap layar kronologi kehilangan abangnya yang hanya membalas mesej keluarga pada kali terakhir pukul 9.04 malam sebelum hilang.

Malam tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat tersebut dijumpai sekitar 7 malam kira-kira 1 kilometer dari lokasi Nidza Afham dilaporkan hilang.

Jenazah kini dalam proses bedah siasat di Hospital Shah Alam dan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah selepas Zohor hari ini.