Malaysia, Republik Tatarstan sedia kerjasama bidang pertanian dan makanan


Oleh: Shafira Aziz

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia dan Republik Tatarstan sedia bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) sektor pertanian dan sumber makanan.

Potensi kerjasama tersebut dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Presiden Republik Tatarstan dalam Persekutuan Rusia, Rustam Minnikhanov pada Selasa.

“Dalam hubungan ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengadakan perbincangan awal dengan Kazan State Agrarian University (KSAU) untuk meneroka peluang kerjasama.

“Peluang kerjasama yang dibincangkan termasuk dari sektor perubahan iklim, baja, pembiakan dan pengeluaran benih tanaman sayuran, kacang soya, pendigitalan produk halal serta kejuruteraan genetik,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh KPKM pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohamad memohon pihak Republik Tatarstan membekalkan maklumat untuk keperluan import produk dari Malaysia bagi memasuki pasaran negara tersebut.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama antara kedua-dua negara termasuk industri eksport daging dan produk tenusu dari Rusia ke Malaysia.

Mohamad juga manzahirkan penghargaan ke atas wakil Republik Tatarstan kerana meluangkan masa untuk menghadiri perbincangan di Wisma Tani tersebut.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Menteri Pertanian dan Makanan Republik Tatarstan, Marat Zyabbarov dan delegasinya; Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, Datuk Azah Hanim Ahmad.

Anda Mungkin Berminat