PH, BN Johor perlu ketepikan ego demi rakyat – Dzulkefly Ahmad

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Ketepikan ego masing-masing antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Johor adalah penyelesaian kepada kemelut politik yang berlaku di negeri itu ketika ini.

Justeru, Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad menyarankan agar langkah ini perlu dimulakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Apakah penyelesaian yang tuntas kepada kemelut politik di Negeri Johor ini? Jawapannya, pemimpin PH dan BN negeri Johor perlu segera duduk di meja perundingan atau musyawarah dengan mengenepikan ‘ego politik’ masing-masing atas nama kepentingan 4.1 juta rakyat Johor.

“Onn Hafiz Ghazi selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor dan Pengerusi BN Johor perlu segera memulakan langkah yang positif ini ke arah menatijahkan keharmonian politik di negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad

Pada 5 Ogos lalu, AMANAH Kluang dilaporkan mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Ketuanya, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, ia berikutan parti berkenaan pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.

Namun, beliau dilaporkan berkata, jika UMNO Johor selaku tonggak utama kerajaan negeri bersedia untuk memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai Ahli Majlis, Ketua Kampung dan Ketua masyarakat, AMANAH bersedia memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota.

Susulan itu, Pemuda UMNO Johor dilapor menyifatkan tindakan AMANAH yang menuntut kerusi DUN Mahkota, sebagai gelojoh dan tamak.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, AMANAH juga dilihat tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris kepada Allahyarhamah Sharifah Azizah yang baru meninggal dunia.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK DUN Mahkota akan diwakili BN.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengulas, pihaknya akan bersiap siaga untuk menghadapi PRK itu yang dijadualkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September depan.

“Isu utama yang membawa ketidakpuasan hati akar umbi AMANAH terutama di Kluang berdasarkan realiti tidak wujud Kerajaan Perpaduan di Johor seperti di Putrajaya dan negeri yang Menteri Besarnya daripada BN.

“Semua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH dikenali sebagai ‘pengimbang’ bagi memurnikan istilah pembangkang dalam Dewan Negeri Johor, malah semua exco serta Ketua Kampung atau ketua masyarakat adalah lantikan daripada BN, mengakibatkan implikasi sangat besar dalam membentuk landskap politik Johor, ketika ini,” katanya lagi.

Ulasnya lagi, prinsip parti penyandang atau ‘Principle of Incumbency’ tidak terpakai kepada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, kerana PH di negeri itu dianggap sebagai pembangkang.

Jelasnya, ia terbukti apabila tidak ada seorang pun Exco Kerajaan Johor daripada PH dengan semua 11 exco adalah daripada UMNO dan BN.

“Apabila tidak wujud Kerajaan Perpaduan di Johor, maka prinsip parti penyandang atau ‘Principle of Incumbency’ tidak terpakai kepada 56 kerusi DUN di Johor.

“Bermakna 56 kerusi DUN di Johor tidak menjadi hak atau milik kepada mana-mana parti sama ada PH atau BN.

“Oleh itu, PH atau BN bebas untuk bertanding di mana-mana kerusi DUN di Johor, tambahan pula PH adalah berstatus ‘pembangkang’ di negeri ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat