Oleh: Farah Faizal
PETALING JAYA: Rapid KL mengumumkan semua perkhidmatan rel merangkumi LRT, MRT dan Monorel, serta BRT Laluan Sunway dan laluan bas terpilih akan beroperasi selama 24 jam pada malam 30 Ogos 2024, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-67.
Rapid KL menerusi satu kenyataan berkata, semua servis rel akan beroperasi bermula dari pukul 6 pagi pada 30 Ogos sehingga 11.30 malam pada 31 Ogos 2024.
“Rapid KL akan turut menyediakan sehingga 60 bas perantara percuma dari Stseen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya bermula pukul 6.00 petang, 30 Ogos hingga pukul 3.00 petang, 31 Ogos bagi memudahkan warga kota yang ingin meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bakal berlangsung di Putrajaya.
“Perkhidmatan yang dipertingkatkan ini dijalankan buat pertama kalinya sebagai inisiatif Prasarana dalam menyokong usaha kerajaan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Selain itu, sebanyak sembilan buah bas akan disediakan dari MRT Putrajaya Sentral ke lokasi-lokasi menarik di sekitar Putrajaya seperti Taman Botani, Marina Putrajaya, Alamanda dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 31 Ogos 2024.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Encik Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, pihak Prasarana amat berbangga kerana dapat menyediakan perkhidmatan itu buat rakyat Malaysia dan kami berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.
“Lebih 4,000 kakitangan barisan hadapan Rapid KL akan bertugas secara syif bagi memastikan kelancaran operasi 24 jam dan memberikan pengalaman perjalanan yang baik sempena Merdeka 2024.
“Kami berharap semua rakyat Malaysia dapat hadir bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67 sebagai tanda cinta kepada negara,” katanya.
Difahamkan, lebih 10,000 petak parkir tersedia di beberapa stesen rel terpilih.
“Pihak Prasarana menjemput warga kota untuk menggunakan perkhidmatan rel dan bas Rapid KL bag mengelakkan kesesakan.
“Pengguna jalan raya sekitar Putrajaya juga dinasihati agar mematuhi arahan pihak berkuasa dengan tidak menghalang laluan bas sepanjang sambutan berlangsung,” ujarnya.