Ekonomi Malaysia Meningkat 5.9%

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Ekonomi negara meningkat sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, selepas merekodkan pertumbuhan 4.2 peratus pada suku sebelumnya.

Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan ini didorong oleh permintaan domestik yang lebih kukuh serta perkembangan positif eksport negara.

Selain itu, peningkatan dalam perbelanjaan isi rumah dan pasaran buruh yang kukuh menyumbang kepada pertumbuhan ini.

“Perbelanjaan isi rumah meningkat kerana keadaan pasaran pekerja yang kekal positif dan sokongan dasar yang lebih meluas. Aktiviti pelaburan disokong oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan dan pengembangan kapasiti oleh syarikat,” katanya.

Kenyataan itu juga melaporkan, eksport bertambah baik berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi dan limpahan peningkatan kitaran teknologi global yang positif.

“Sektor perkilangan disokong oleh peningkatan yang menyeluruh merentas semua kelompok, khususnya kelompok elektrik dan elektronik (E&E).

“Sektor perkhidmatan pula mencatatkan pertumbuhan kukuh, didorong oleh subsektor berkaitan pengguna dan perniagaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, sehingga 13 Ogos 2024, ringgit mengukuh sebanyak 3.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan pada asas kadar pertukaran efektif nominal, ia turut mengukuh sebanyak 5.3 peratus.

Hal itu sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan yang semakin meningkat dalam kalangan peserta pasaran kewangan berhubung dengan pengurangan kadar dasar AS, yang telah meredakan tekanan terhadap mata wang serantau termasuk ringgit.

“Inisiatf terselaras oleh kerajaan dan BNM dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) berserta libat urus dengan syarikat korporat, pengeskport dan pelabur terus memberikan sokongan terhadap ringgit,” katanya.