PH buka ruang buat calon BN bertanding di PRK Mahkota

Oleh: Shafira Aziz

KLUANG: Pakatan Harapan (PH) bersetuju agar calon Barisan Nasional (BN) dipilih untuk bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat kepimpinan tertinggi PH yang diadakan minggu lepas.

“Adalah juga dipersetujui bahawa PH bersetuju calon BN akan bertanding sebagai menghormati kerusi ‘incumbent’ (penyandang jawatan).

“Ia sepertimana BN berbuat serupa ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada September 2023 tempoh hari,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, PH bagaimanapun akan turun memberi sokongan sepenuhnya kepada calon BN yang bakal dinamakan nanti.

Ia kerana, mengekalkan kemenangan kerusi DUN Mahkota adalah menjadi keutamaan dalam semangat Kerajaan Perpaduan pada hari ini.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa Kerajaan Perpaduan bakal menamakan calon daripada BN dalam PRK DUN Mahkota.

Ia berdasarkan faktor bahawa kelaziman parti yang menyandang kerusi DUN tersebut akan ditandingi semula oleh parti berkenaan.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September depan.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Sharifah Azizah sebelum itu dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang selepas mengalami pendarahan dalaman.