PM: Impian Kerajaan jadi 30 negara ekonomi terbesar di dunia

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, melebihi jangkaan pakar ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian tersebut didorong oleh langkah-langkah tegas kerajaan, termasuk pemberantasan rasuah, penyelarasan subsidi, dan menarik pelaburan bernilai tinggi.

“Contoh pelaburan ini termasuk projek RM25 bilion oleh Infineon dan penglibatan syarikat teknologi global seperti Google dan Microsoft,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar menegaskan bahawa rangka kerja Ekonomi Madani bertujuan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama, seterusnya mencapai pertumbuhan ekonomi mampan sekitar 5.5 peratus hingga 6 peratus setiap tahun.

“Pemulihan nilai ringgit dan peningkatan pantas FBM KLCI mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap Malaysia.

“Di bawah dasar Ekonomi Madani, kerajaan berusaha memperkenalkan industri bernilai tinggi dan mampan melalui inisiatif seperti Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Peralihan Tenaga Nasional.

“Matlamat utama kerajaan sekurang-kurangnya capai 5.5 peratus setiap tahun, jika capai 6 peratus, akan menempatkan Malaysia antara daripada 30 ekonomi terbesar di dunia dan berdaya saing di peringkat global,” tambahnya.

Namun, Anwar menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi hanya bermakna jika rakyat dapat merasai manfaatnya.

Ia kerana rangka kerja Ekonomi Madani bertujuan mewujudkan masyarakat yang lebih adil, seterusnya memastikan keadilan sosial dan kesaksamaan.

Anwar juga percaya bahawa impian besar tersebut boleh dicapai dengan kerjasama semua pihak dalam negara.

Dengan sokongan padu dari semua lapisan masyarakat, Malaysia berpotensi menjadi negara yang lebih makmur dan sejahtera.