PRK Nenggiri: 20,216 pengundi pilih wakil rakyat baharu hari ini

GUA MUSANG: Seawal 7.30 pagi, sudah ada pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menunggu untuk menunaikan tangggungjawab bagi memilih wakil rakyat baharu hari ini.

Seramai 20,216 pengundi akan menzahirkan hasrat mereka menerusi 20 pusat mengundi dengan 46 saluran dibuka yang akan ditutup secara berperingkat antara 2 dan 6 petang.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.

Ini ialah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).

Anda Mungkin Berminat