GUA MUSANG: Sebanyak 63.58 peratus pengundi keluar mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Negeri N.43 Nenggiri sehingga jam 2 petang tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi warga emas dan anak muda setakat ini amat menggalakkan.
Seramai 20,216 pengundi berdaftar menerusi 20 pusat mengundi dengan 46 saluran dibuka yang akan ditutup secara berperingkat antara 2 dan 6 petang.
Mengikut statistik SPR, pengundi warga emas di DUN Nenggiri terdiri daripada 2,491 orang manakala golongan yang berusia 18 hingga 59 tahun pula seramai 17,786 orang.
PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
SPR menjangkakan keputusan akan diperoleh sebelum jam 9 malam ini bagaimanapun ia bergantung kepada perjalanan urusan berkenaan.