PETALING JAYA: Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengheret institusi istana dalam kempen politik mengecewakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam satu kenyataan, Wan Rosdy menyifatkan tindakan itu sebagai biadap kerana menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah sewaktu baginda bertugas sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
“Sebagai mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin tidak sepatutnya mengheret institusi istana dalam kempen politiknya yang sempit semata-mata untuk meraih undi dan mengaburi rakyat tentang apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO yakin dan percaya, rakyat juga telah mengetahui dan bersetuju bagaimana Tuanku berjaya menghentikan kemelut politik negara daripada terus berpanjangan dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
Tambahnya rakyat umum mengetahui bahawa PAS dan Bersatu menolak titah Tuanku.
Ekoran itu, beliau turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Muhyiddin.
Katanya, ucapan Muhyiddin secara sengaja mencetuskan suasana yang tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R (Kaum, Agama, Institusi Diraja) dalam kempen politiknya.
Tindakan ini jelasnya wajar dan berharap rakyat di negara ini perlu terus menghormati institusi diraja sebagai simbol penyatuan dan pelindung rakyat jelata.