PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman pada Ahad yang memaklumkan perkembangan semasa di rantau Timur Tengah.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Anwar berkata, beliau dimaklumkan oleh rakan sejawatnya itu terkait hasil positif dalam rundingan damai konflik antara Palestin dan Israel yang menurutnya perlu disegerakan.
“Malaysia menyokong tindakan Qatar untuk memberi keutamaan kepada usaha menamatkan krisis kemanusiaan yang mendesak di Gaza.
“Saya zahirkan penghargaan rakyat Malaysia atas peranan besar Qatar, selain menyatakan persetujuan kepada permintaan Sheikh Mohammed yang mahu Malaysia membantu dalam usaha mewujudkan penyelesaian tuntas terhadap penderitaan rakyat Palestin,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Sheikh Mohammed meminta dirinya untuk berhubung dengan Presiden Iran dan wakil Hamas dalam masa terdekat bagi mempermudah rundingan damai, sekali gus menguatkuasakan gencatan senjata serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Sekurang-kurangnya 17 rakyat Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan Israel di bandar Zawayda tengah Gaza pada Sabtu, kata pegawai kesihatan.
Menurutnya, dalam satu lagi serangan udara Israel ke atas sebuah kereta di bandar Jenin di Tebing Barat, telah membunuh sekurang-kurangnya dua lagi rakyat Palestin, seorang berusia 18 tahun.
Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah dipindahkan berikutan serangan kejam rejim zionis Israel yang telah memusnahkan sebahagian besar kawasan itu.