Kemenangan Nenggiri bukti kesedaran rakyat lakukan perubahan bersama Kerajaan Madani – Anwar

PETALING JAYA: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sekali gus membuktikan rakyat di negeri Kelantan menerima kesepakatan yang terhasil menerusi gabungan Perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook mengucapkan syukur dan ucapan tahniah kepada Azmawi di atas kemenangan pada PRK itu pada Sabtu.

“Alhamdulillah, tahniah Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili BN atas kemenangan dalam PRK Nenggiri semalam.

“Kemenangan ini juga adalah penzahiran kepercayaan rakyat yang semakin menyesuaikan diri dengan gelombang perubahan di bawah Kerajaan MADANI, selaras dengan petanda lonjakan ekonomi negara yang kian mekar sejak akhir-akhir ini.

“Insya-Allah, kemenangan ini menjadi suntikan moral untuk Kerajaan MADANI tekal dalam usaha memelihara kebajikan rakyat dan menjulang kemakmuran negara ke tingkat tertinggi,” katanya.

Terdahulu, calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memenangi kerusi DUN Nenggiri pada PRK pada Sabtu dengan majoriti 3,352 undi.

Beliau memperoleh 9,091 undi, menewaskan Mohd Rizwadi Ismail daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 5,739 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Nenggiri pada pukul 9.32 malam di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang.

PRK Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.