PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad menerima kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah tiba di Seri Perdana disambut Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata kunjungan hormat itu memberi isyarat penting tentang kepentingan hubungan erat serta Kerjasama dua hala antara Malaysia dan Brunei.
“Kami berbicara panjang terkait usaha meningkatkan kerjasama Malaysia-Brunei dalam pelbagai bidang, khususnya perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan serta hal ehwal sempadan.
“Perbincangan turut meneroka potensi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai industri termasuk teknologi digital dan latihan, selain ruang untuk bersama-sama memperkasa hal ehwal syariah dan bahasa Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan dan perkenan Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan isteri mengadakan kunjungan hormat dan lawatan rasmi ke negara ini.
“Ini sekali gus membuka ruang untuk membina persahabatan yang lebih utuh demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” tambahnya.
Terdahulu, Putera Mahkota Brunei dan Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 17 hingga 21 Ogos.
Untuk rekod, pada 2023, Brunei merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM9.31 bilion (RM9.31 bilion).