Oleh: Wahida Ramlan
PETALING JAYA: Pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA 2024) menerima pujian ramai pihak selepas upacara perasmiannya dianggap ‘gah’ berbanding Olimpik Paris 2024 dengan disaksikan kira-kira lebih dari 40,000 penonton di Stadium Sarawak, malam tadi.
Selain perarakan masuk atlet-atlet dari 14 negeri di Malaysia dan Brunei yang turut menyertai sukan ini termasuk maskot-maskot setiap negeri, penonton juga disajikan dengan pelbagai persembahan seperti tarian daripada pelbagai etnik di Malaysia, paluan gendang, pancaran laser dan formasi dron yang berjaya memukau perhatian penonton.
Penonton turut dihiburkan dengan persembahan daripada barisan artis terkemuka tanah air seperti Jaclyn Victor, Faizal Tahir, dan Marsha Milan sebelum perarakan kontinjen berlangsung.
Majlis turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kepimpinan kerajaan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama isterinya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abdul Halim.
Dalam pada itu, SUKMA kali ini turut menghimpunkan atlet terkemuka dari Bumi Kenyalang seperti legenda pecut Watson Nyambek, bekas perenang negara Daniel Bego dan juga barisan penerjun seperti Datuk Pandelela Rinong dan Bertrand Rhodict Lises yang baru sahaja pulang dari Sukan Olimpik Paris 2024.
Pandelela dan peninju sensasi Sarawak Daeloniel McDelon Bong atau lebih dikenali sebagai ‘Kilat Boy’ diberikan penghormatan untuk membawa obor temasya itu sebelum upacara ditamatkan dengan persembahan bunga api berirama yang memukau.
SUKMA Sarawak dianjurkan di sembilan bahagian di Sarawak hingga 24 Ogos membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan yang terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 wanita dan 35 acara campuran.
Pungutan pingat setakat malam Sabtu menyaksikan Sarawak mendahului carta dengan pungutan 12 pingat emas, sembilan perak dan lapan gangsa dengan keseluruhan 29 pingat diekori Wilayah Persekutuan di tempat kedua dan Terengganu di tempat ketiga.
Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah untuk SUKMA adalah pada tahun 2016 yang menyaksikan negeri Selangor menjadi juara keseluruhan selepas mengutip 59 pingat emas, 73 perak, dan 64 pingat gangsa.
Baca juga :