Ulasan | Perpaduan bukan  fungsi utama sukan

Oleh: Muhammad Lutfi Ishak

SUKAN memang dapat menyemai dan mengukuhkan perpaduan. Namun, itu bukan fungsi utama sukan.

Fungsi utama sukan adalah sekadar menyihatkan tubuh badan. Apabila tubuh badan kita sihat, maka, ia membantu diri kita memikul dan melaksanakan tanggungjawab sebenar kita sebagai seorang insan.

Perpaduan yang disebabkan oleh sukan bersifat sementara, misalnya, apabila kita menang. Namun apabila kalah, akan timbul keadaan yang sebenar, seperti saling menyalahkan.

Perpaduan yang disebabkan oleh sukan juga jika tidak dikawal dan ditentukan oleh satu tujuan yang tulus, maka akan mengakibatkan perpaduan negatif.

Apakah jenis perpaduan itu? Perpaduan sukan yang dimajukan untuk memupuk semangat kedaerahan dan kenegerian.

Sebab itu, dalam berbicara tentang sukan dan perpaduan, kenal pasti fungsi sukan yang utama. Kerana dengan mengenal fungsinya, kita lepas ni tak berbalah lagi bila gagal dapat pingat.

Dalam masa sama, belanja yang dihabiskan untuk projek khas itu alihkan saja supaya rakyat ada kesedaran sukan yang betul.

Saya percaya, dalam soal perpaduan kaum, tugas itu jatuh pada bahasa dan pendidikan Kebangsaan. Daripada berbelanja berbillion untuk program pingat emas, baik mengalihkan belanja itu ke pemerkasaan bahasa dan pendidikan Kebangsaan jika benar kita bercakap tentang nak kukuhkan perpaduan kaum. 

***Penulis adalah pengkarya buku-buku sastera dan pernah dinobatkan sebagai Sasterawan Muda MASTERA oleh Majlis Sastera Asia Tenggara