Keropok Beracun: Pekebun Dedah Situasi Sebenar, Mahu Nama Dibersihkan

Oleh: Hanim Nadia

KULIM: Susulan kes keropok beracun sehingga mengorbankan dua beradik pada 7 Julai lalu di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kedah pekebun yang dikenali sebagai Uzair Shafawi tampil menceritakan situasi sebenar daripada pihaknya.

Uzair tampil bersuara di Facebooknya baru-baru ini mendedahkan cerita sebenar susulan dia mendakwa dirinya telah difitnah dan dibiarkan teraniaya sepanjang kes berkenaan.

“Akulah si pekebun yang ditahan atas kelalaian mak dan juga penjaga kepada dua mangsa tersebut. Aku duduk dalam lokap lapan hari, sia-sia sahaja kena duduk lokap. Mak dan juga datuk mangsa masih lagi tidak ditahan.

“Keropok berkenaan sebenarnya diletakkan di atas pagar dengan ketinggian empat kaki setengah. Memang tidak logik kanak-kanak berumur dua hingga tiga tahun dapat mengambilnya. Tambahan pula ianya diletakkan di laluan kera di kawasan hutan bukannya di tepi jalan,” ujarnya menerusi satu video.

Dalam kenyataan yang penuh emosi itu, Uzair turut mendakwa bahawa keluarga mangsa sering mengabaikan kanak-kanak tersebut.

“Budak-budak itu pernah sampai ke rumah saya dengan pampers penuh dengan tahi,” dakwanya, sambil menambah bahawa kanak-kanak itu sering dilihat berkeliaran tanpa pengawasan.

Beliau juga terkilan kerana tiada seorang pun wartawan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang datang untuk mendengar kisah dari pihaknya, walaupun dia telah berada di rumah sepanjang masa dan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

“Aku boleh ceritakan perkara sebenar tetapi tiada seorang pun wartawan datang ke rumah membuat liputan. Hanya pihak polis sahaja yang datang.

“Aku difitnah disebabkan datuk kepada mangsa reka cerita bukan-bukan. Kalau ikut kehendak aku, aku nak saman dia,” katanya.

Uzair turut menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap liputan media yang dirasakannya berat sebelah.

Menurutnya, media lebih banyak memihak kepada keluarga mangsa tanpa mendengar atau melaporkan versi ceritanya.

“Wartawan jangan putar belit fakta, ceritakan benda yang betul,” tegasnya.

Tambah Uzair, beliau telah melaporkan masalah kera yang menjadi punca insiden ini kepada pihak perhilitan sejak tahun 2021, namun tiada tindakan yang diambil sehingga tragedi itu berlaku.

Dengan pihak berkuasa kini dalam siasatan, kebenaran di sebalik kejadian tragis ini masih menjadi tanda tanya.

Video berdurasi lebih sembilan minit itu mendapat 53,000 perkongsian, 68,000 tanda suka dan 10,000 komen setakat ini.