PETALING JAYA: Pemergian Allahyarham Rozaid Abdul Rahman merupakan satu kehilangan yang cukup besar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata mereka akrab sebagai sahabat dan sudah mengenali ahli keluarga masing-masing kerana telah berkenalan sejak sekian lama.
“Bapa beliau juga kenalan lama di Permatang Pauh, dari segi peribadi memang saya kehilangan sahabat yang menyokong saya selama ini,” katanya ketika hadir ke Masjid Putra Heights, Subang Jaya hari ini, memetik Sinar Harian.
Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu.
Anwar hadir bersama isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Rozaid yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Ahad.