Polis cari warga Myanmar disyaki tikam warga Nepal

Oleh: Farah Faizal

IPOH: Seorang lelaki warga Nepal maut dipercayai akibat pergaduhan di asrama pekerja di Kuala Kurau, Kerian, dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung pergaduhan melibatkan sekumpulan warga asing kira-kira pukul 12.35 tengah malam.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati pergaduhan tercetus antara sekumpulan warga asing dari Myanmar dan Nepal ini berpunca akibat rasa tidak puas hati kerana membuat bising.

“Mangsa yang berusia 28 tahun disyaki telah terbunuh dalam pergaduhan tersebut akibat luka tusukan disebabkan objek tajam,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Juna berkata, kedua-dua kumpulan warga asing itu bekerja di sebuah kilang yang sama.

Tambahnya, polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian bertindak membuat tangkapan ke atas 21 individu yang terlibat dalam pergaduhan terbabit bagi membantu siasatan.

Ujarnya, pihak polis juga sedang mengesan seorang lelaki warga Myanmar berusia 38 tahun dipercayai terlibat dalam pergaduhan dan menghilangkan diri selepas kejadian terbabit.

Mengulas lanjut, pihak polis memohon bantuan orang ramai sekiranya terjumpa atau mempunyai sebarang maklumat mengenai lelaki terbabit supaya menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian, Asisten Superintendan Ambri Mat Nayan di talian 011-1309 2525 atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Fernandes Anak Bayoi di talian 019-867 3515.