Oleh: Shafira Aziz
KLUANG: Dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Parti PAS Johor dilihat keliru dan bingung dengan dinamik Kerajaan Perpaduan, khususnya antara Parti Amanah Negara (AMANAH) dan UMNO.
Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan menolak dakwaan tidak berasas PAS mengenai ketidaksefahaman dalam gabungan itu.
“AMANAH bukan seperti PAS yang sanggup mengorbankan prinsip demi memenuhi kehendak sekutu.
“AMANAH dan UMNO Johor terus menunjukkan kesepaduan yang kukuh, seperti yang dibuktikan dalam PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai sebelumnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Aminolhuda menegaskan bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh gabungan Kerajaan Perpaduan adalah hasil daripada perbincangan dan musyawarah yang rapi di peringkat tertinggi, dengan mengambil kira suara akar umbi.
“Kerajaan Perpaduan mengamalkan demokrasi yang telus, di mana setiap keputusan dibuat berdasarkan permintaan dan pandangan rakyat,” ujarnya.
Sebaliknya, PAS dilihat terus menghadapi cabaran dalam menguruskan hubungan dengan sekutu-sekutunya dan ia jelas apabila terdapat peralihan ahli parti Bersatu sebelum penamaan calon dalam PRK DUN Nenggiri.
Aminolhuda yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Johor turut menegaskan bahawa kesatuan yang dipamerkan oleh AMANAH dan UMNO Johor dalam menghadapi PRK adalah manifestasi daripada semangat untuk terus membangunkan negeri itu.