Oleh: Wahida Ramlan
PETALING JAYA: Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching tegas mengecam serangan fitnah yang dilemparkan kepada Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
Beliau berkata fitnah yang dilakukan di aplikasi TikTok yang mendakwa Syerleena sedang berjuang dalam menukar agama rasmi Malaysia dan akan menyerang institusi Islam khususnya JAKIM sangat berbahaya.
“Fitnah tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi menimbulkan ketegangan serta perpecahan dalam masyarakat.
“Serangan-serangan seperti ini yang ditujukan khususnya kepada ahli Melayu dalam DAP, adalah kesinambungan daripada retorik berbahaya seperti ‘kafir harbi’ yang mesti dihentikan segera.
“Saya juga ingin tekankan bahawa fitnah terhadap wanita Melayu dalam DAP tidak hanya mencemarkan nama baik mereka, tetapi juga boleh membuka pintu kepada keganasan berasaskan jantina,” tegasnya di Facebook DAP Wanita Malaysia hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi itu juga menyatakan isu sebegini membuktikan hasil Kajian Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam laporan Indeks Jurang Jantina 2024 bahawa Malaysia tergolong dalam tangga yang tercorot dari segi pemerkasaan wanita dalam politik.
“Saya percaya bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan secara telus dan adil terhadap laporan yang telah dibuat oleh Saudari Syerleena Abdul Rashid.
“Bagi pihak DAP Wanita, kami yakin bahawa kebenaran akan terbukti dan keadilan akan ditegakkan bagi menghentikan budaya fitnah yang semakin berleluasa ini,” katanya.