8 MoU dimeterai kukuhkan hubungan Malaysia-India

NEW DELHI: Pemeteraian lapan memorandum persefahaman (MoU) melibatkan lima kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) antara Malaysia dan India pada Selasa bagi mengukuhkan hubungan dua hala.

Majlis yang diadakan di Hyderabad House itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri India, Narendra Modi meliputi pelbagai sektor.

Lima kementerian terbabit dalam MoU hari ini ialah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Digital, Kementerian Luar dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Lapan MoU berkenaan itu adalah termasuk pengrekrutan, pengambilan pekerja dan repatriasi (Kementerian Sumber Manusia), ayurveda dan lain-lain perubatan tradisional serta sektor belia dan sukan (Kementerian Luar), kerjasama teknologi digital (Kementerian Digital) dan kerjasama sektor pelancongan, kebudayaan, kesenian dan warisan (Kementerian Pelancongan, Kebudayan dan Kesenian).

Manakala MoU antara International Financial Services Centres Authority (IFSCA) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) telah dimeterai termasuk kerjasama pentadbiran awam dan reformasi tadbir urus oleh Jabatan Pentadbiran Awam (JPA).

Pada majlis sama, laporan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Forum ke-2 Malaysia-India diserahkan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar India, Dr Jaishankar.