PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Pahang menyatakan sokongan penuh mereka kepada Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berhubung gesaan supaya Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin disiasat.
Ketua pembangkang negeri yang juga Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengisytiharkan taat setia mereka yang tidak berbelah bahagi kepada Tengku Hassanal dan ayahandanya Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“ADUN PN Pahang menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Muhyiddin semasa berkempen di Nenggiri agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.
“Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemic serta hendaklah akur terhadap titah Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa yang sama, rakaman percakapan terhadap Muhyiddin berhubung ucapan yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini yang sepatutnya dijalankan pada hari ini telah ditangguhkan pada esok hari.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, rakaman keterangan berkenaan ditangguhkan susulan peguam Muhyiddin berada di luar kawasan.
Katanya, lokasi rakaman keterangan akan dijalankan di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral, Kuala Lumpur.