Anwar diberi sambutan rasmi di kediaman rasmi Presiden India

NEW DELHI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke India diberi sambutan rasmi di kediaman rasmi Presiden India, Rashtrapati Bhavan.

Ketibaan Anwar di India pada Isnin untuk kunjungan sulung ke negara ini sejak menyandang jawatan itu disambut rakan sejawatnya, Narendra Modi.

Dalam pertemuan itu, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum kedua-dua pemimpin saling memperkenal barisan menteri masing-masing.

Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya mengadakan pertemuan dua hala untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala dan perdagangan Malaysia dan India, serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Ia bagi mengukuhkan hubungan 67 tahun Malaysia-India dan mewujudkan agenda kerjasama pelbagai sektor untuk masa hadapan.

Anwar dan Modi juga akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk ekonomi digital, pelancongan, sumber manusia, pendidikan tinggi, sains dan teknologi, serta perubatan tradisional.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Terdahulu, Anwar telah mengadakan perjumpaan tertutup bersama Menteri Luar India, Dr S. Jaishankar di sebuah hotel di New Delhi.

Perjumpaan tertutup itu turut disertai barisan delegasi kedua-dua negara yang diadakan sebelum Anwar bertemu rakan sejawatnya, Narendra Modi.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadiri upacara sambutan rasmi di Forecourt of Rashtrapati Bhavan dan kemudiannya memberi penghormatan di Gandhi Memorial, New Delhi ketika lawatan rasmi di New Delhi, India, 20 Ogos, 2024. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This photos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the image or facts mentioned in the caption. Reuse of the pictures may require further permission. MANDATORY CREDIT – SADIQ ASYRAF/Prime Minister’s Office of Malaysia

Sebelum itu, beliau meletakkan kalungan bunga di Gandhi Smriti iaitu pusara Bapa Negara India, Mahatma Gandhi yang disemadikan pada 31 Januari 1948.