Imigresen Perak hantar pulang 30 PATI pelbagai warganegara ke negara asal

Oleh: Shafira Aziz

IPOH: Seramai 30 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Depot Imigresen Langkap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing pada 24 Julai lalu.

Menurut Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, PATI yang hantar pulang terdiri daripada 20 orang lelaki dan 10 orang wanita yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 57 tahun.

“Mereka terdiri daripada warganegara India, Pakistan, Indonesia, Kemboja dan Vietnam.

“Pemindahan mereka ke negara asal dilakukan melalui pintu masuk udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah selesai menjalani hukuman denda dan penjara.

“Kesemua mereka telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Meor Hezbullah berkata, kesemua PATI itu turut disenarai hitamkan untuk memasuki semula ke negara ini.

Tambah beliau, program penghantaran pulang tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan JIM Perak dalam membanteras PATI yang ditempatkan di Depot Imigresen Langkap.