Rebut peluang tonton MotoGP Malaysia dengan harga Rahmah

Oleh: Farah Faizal

KUALA LUMPUR: Sekali lagi Malaysia menjadi antara pasukan pilihan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula 1 hingga 3 November 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, tahun ini istimewa kerana pihaknya meraikan 25 tahun sejak Petronas SIC menjadi litar kegemaran peminat dan pelumba sejak tahun 1999.

“Petronas juga meraikan ulang tahunnya yang ke-50 dan dengan musim MotoGP 2024 ini menandakan 75 tahun perlumbaan.

“Acara ini merupakan perayaan sebenar perpaduan kita sebagai satu negara, satu komuniti, dan satu keluarga perlumbaan,” katanya dalam sidang media Grand Prix Petronas Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambah Shafriman, tiket festival eksklusif dijual pada harga RM500 bermula hari ini hingga 31 Ogos 2024.

Dalam pada itu, beliau juga berterima kasih kepada HIFIVE Entertainment kerana hadir sebagai rakan kongsi strategik bagi festival ini.

Dalam majlis sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Adam Adli berkata, MotoGP Malaysia menandakan komitmen kerajaan dalam memberi manfaat besar kepada komuniti sukan permotoran di Malaysia. 

“Sejak 1999, Petronas SIC telah berjaya menganjurkan 25 acara MotoGP menunjukkan keupayaan Malaysia untuk menganjurkan acara bertaraf dunia.

“Inisiatif ini telah memupuk ekosistem sukan permotoran yang mampan, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pelancongan dan memperkasakan belia kita dengan laluan profesional melalui program seperti Rakan Litar,” katanya.

Selaras dengan inisiatif Malaysia Madani Kerajaan dan untuk menjadikan sukan lebih mudah diakses, Petronas SIC menawarkan Tiket Rahmah yang boleh didapati pada harga RM49.90 dan juga promosi istimewa diskaun 25 peratus disediakan sehingga 20 September 2024 sempena sambutan Hari Merdeka.