Oleh: Shafira Aziz
PASIR GUDANG: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di KM20 Lebuhraya Pasir Gudang pada pukul 1.15 pagi hari Isnin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata mangsa berusia 18 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna merah.
“Penunggang tersebut telah bergesel dengan penunggang motosikal jenis sama berwarna putih di lorong kanan lokasi kejadian.
“Disebabkan pelanggaran tersebut, kedua-dua motosikal telah terbabas dan terjatuh di atas jalan dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, penunggang motosikal berwarna putih juga lelaki berusia 18 tahun tersebut pula cedera parah pada bahagian kaki dan tangan.
Mohd Sohaimi memaklumkan mangsa yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.
Kes kemalangan tersebut turut disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan merbahaya.
Dalam pada itu, pihak polis turut menyeru orang ramai khususnya pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang jalan raya untuk mengelakkan sebarang kemalangan daripada berlaku.