Oleh: Kamilia Ali
SARAWAK: Silambam dan Kabbadi telah membuat penampilan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dan akan disenaraikan sebagai sukan pingat di SUKMA 2026.
Secara tidak langsung, ia membuktikan sukan menjadi instrumen terbaik mengeratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan, kemasukan kedua-dua sukan tradisional India di SUKMA berkenaan diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 12 Jun 2023.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, ia menunjukkan Kerajaan Madani akan terus memberi keutamaan kepada sukan tradisi agar tidak lupus ditelan zaman.
“Penyertaan Silambam dan Kabbadi dalam SUKMA akan memberi peluang untuk mencungkil bakat dari kalangan belia India.
“Ia memberi peluang buat mereka untuk bertanding di arena antarabangsa seperti di Sukan Asia yang turut mempertandingkan sukan Kabbadi,” katanya.
Untuk info, kali terakhir Silambam dipertandingkan pada SUKMA 2013 dan kali ini disertai atlet pelbagai kaum dengan Sarawak menghantar 18 atlet yang hanya tiga daripadanya berdarah campur India, manakala Sabah pula daripada 16 atletnya hanya seorang berketurunan India hasil perkahwinan campur.
Baca juga: