Oleh: Kamilia Ali
SARAWAK: Kejadian bot karam melibatkan tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong dikhuatiri lemas di Sungai Batang Kayan, hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Lundu, Seputi Superintenden Damataries Lautin, ketiga-tiga mangsa merupakan antara 20 penumpang bot tersebut.
“16 daripada penumpang merupakan pelajar yang terdiri daripada 15 pelajar SMK Senibong dan seorang pelajar SMK Lundu, selain tiga orang awam dan seorang lagi jurumudi bot.
“Dalam kejadian itu, 12 orang berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing, manakala penduduk kampung telah menyelamatkan sebahagian lagi daripadanya.
“Dalam masa sama, seorang lagi pelajar dijumpai selamat oleh penduduk kampung dalam jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian selepas dihanyutkan air pasang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, dua pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki dilaporkan hilang.
“Mangsa yang hilang dikenali sebagai Alsma Jithil, 14, Vikie Wilson, 15, dan Helena Fasha Petrus, 16, kesemua pelajar SMK Senibong.
“Manakala, tiga orang awam dan jurumudi bot tersebut berjaya menyelamatkan diri,” katanya.
Jelas Damataries, siasatan awal mendapati bot yang diperbuat daripada kayu papan itu menyeberangi sungai tersebut dari Kampung Selampit.
Seterusnya, keadaan air pada ketika itu sedang pasang dan menyebabkan bot tersebut karam apabila sampai di tengah-tengah sungai berkenaan.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, siasatan terperinci akan dijalankan ke atas insiden itu.
Beliau juga berharap agar operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa yang hilang berjalan dengan lancar.
Baca juga: