Anwar bukan bersifat hipokrit, tapi kemanusiaan konkrit

Oleh: Farah Faizal

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikritik oleh sesetengah pihak sebagai ‘keterlaluan’ dan ‘hipokrit’ kerana menerbangkan rakyat Palestin selama 16 jam dengan dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai berkata, respons negatif sesetengah pihak terhadap keputusan Kerajaan Perpaduan membawa masuk rakyat Palestin yang cedera dan ahli keluarga mereka dari Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan di Malaysia pasti benar-benar mengejutkan.

“Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menyediakan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin kerana ada negara lain yang berbuat perkara yang sama, termasuk Mesir, Jordan dan Turkiye,” menurut beliau.

Justeru beliau berkata, ianya bukan hanya sekadar menghadiri perhimpunan bantahan, solat berjemaah dan memboikot Kentucky Fried Chicken dan Starbucks, yang hanya merugikan pemegang francais Malaysia, malah rakyat harus mengambil pendekatan yang lebih praktikal.

Dalam pada itu, Pengarah Bersekutu Human Rights Watch, Belkis Wille berkata, memindahkan pesakit dan menyediakan rawatan perubatan yang sewajarnya untuk mereka merupakan tindakan kemanusiaan yang konkrit dan boleh dilaksanakan bagi membantu kehidupan rakyat Palestin.

“Satu daripada cara paling bermakna untuk mengurangkan kematian yang boleh dielakkan dengan menawarkan rawatan perubatan kepada rakyat Palestin yang memerlukannya, memastikan ahli keluarga mereka boleh menemani dan tinggal bersama mereka dan tiada seorang pun yang dikembalikan secara paksa untuk menghadapi risiko bahaya selanjutnya,” katanya.

TUDM terbangkan warga Palestin cedera dari Mesir ke Malaysia

Mesir dilaporkan membenarkan 40,000 rakyat Palestin bersama ahli keluarga mengikuti sekolah dibangunkan negara itu, dan lebih 1,000 rakyat Palestin yang cedera kini berada di Emiriah Arab Bersatu, 3,000 anak yatim dan 1,000 yang cedera di Qatar manakala Arab Saudi menerima 1,000 ahli keluarga rakyat Palestin.

Turkiye bukan hanya menghantar kapal perubatan untuk merawat rakyat Palestin yang cedera, malah turut membawa pulang 1,000 daripada mereka untuk menerima rawatan perubatan.

Indonesia juga dilaporkan menyatakan kesediaannya untuk membantu rakyat Palestin ini.