Oleh: Kamilia Ali
NEW DELHI: Kedudukan ekonomi Malaysia kian berkembang dan terus kukuh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menjelaskan keadaan ekonomi negara kepada diaspora Malaysia di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India, malam tadi.
“Saya jelaskan mengenai kedudukan ekonomi kita yang kian berkembang dan terus kukuh berdasarkan dapatan dari Jabatan Perangkaan dan Bank Negara baru-baru ini yang melaporkan ekonomi negara berkembang 5.9 peratus melebihi unjuran asal.
“Saya terangkan beberapa perkara penting terutamanya melibatkan dasar-dasar kerajaan yang juga mencakup langkah mensasarkan semula subsidi diesel yang pastinya akan memanfaatkan negara dan rakyat untuk jangka masa panjang.
“Meski ia bukan langkah yang populis, tetapi masalah itu perlu didepani dengan cermat dan berani agar negara ini dapat diselamatkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Terdahulu, Anwar telah menyampaikan syarahan umum yang bertajuk ‘Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties’ di Sapru House Indian Council of World Affairs (ICWA).
“Saya singgung sasaran Malaysia untuk mempelbagaikan usaha diplomasi ekonominya menerusi penyertaan dalam platform antara kerajaan seperti Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) selain meningkatkan kerjasama melalui inisiatif bersama dan perkongsian strategik.
“Penyertaan dalam BRICS tidak hanya mengukuhkan hubungan ekonomi dengan India, namun turut membuka ruang kerjasama luas merentasi spektrum industri dan dasar.
“Saya turut menyentuh naratif Global South yang mana Malaysia percaya ia tidak dapat dielakkan dan kebangkitannya akan memupuk perpaduan dalam kalangan pelbagai negara sambil menerima kepelbagaian dan perbezaan mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, sebagai pemacu utama kemakmuran global, Global South kini merangkumi kira-kira 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 85 peratus daripada populasi global.
“Menjelang 2030, tiga daripada empat ekonomi terbesar dunia dijangka datang dari Global South antaranya ialah India.
“Saya juga membangkitkan soal kepengerusian ASEAN tahun depan dan memberi jaminan Malaysia akan bekerjasama rapat dengan India dan Rakan Dialog yang lain,” katanya lagi.