Bantuan kemanusiaan, Malaysia punyai sejarah panjang

Oleh: Wahida Ramlan

PETALING JAYA: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerbangkan rakyat Palestin dengan dua pesawat Tentera Diraja Malaysia (TUDM) dikritik oleh sesetengah pihak yang menganggap tindakan itu sebagai keterlaluan.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai berkata, terdapat beberapa pihak menyatakan bahawa Anwar sepatutnya fokus dalam melaksanakan amal jariah dalam negara dengan membantu rakyat di negara ini yang kesusahan daripada berpaling ke negara luar.

Namun, katanya, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menyediakan kelengkapan buat rakyat Palestin daripada segi bantuan perubatan.

“Mesir, Jordan dan Turkiye turut bertindak melakukan perkara yang sama, malah Turkiye membantu dalam aspek menghantar kapal perubatan untuk merawat rakyat Palestin yang cedera,” katanya.

Wong Chun berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan ketegasan untuk membantu rakyat Palestin selain memiliki sejarah panjang dalam memberikan sumbangan bantuan kemanusiaan, terutamanya kepada rakyat Palestin.

“Saya tahu apa yang saya ketengahkan ini, kerana saya sendiri pernah melawat Gaza serta Tebing Barat, dan melihat kekecewaan mereka dengan mata kepala saya sendiri, pelbagai bentuk penghinaan yang dihadapi rakyat Palestin setiap hari.

“Kita pernah membenarkan rakyat Syria dan Bosnia datang ke Malaysia, dan kebanyakan mereka berpindah ke negara lain. Malah kita juga pernah membenarkan 250,000 pelarian Vietnam mendarat di Malaysia dengan kebanyakannya memilih untuk berpindah ke negara lain,” jelas beliau.

Tambahnya, ini bukan pertama kali Malaysia membantu negara lain dalam misi pengaman dan ianya tidak wajar untuk mengkritik segala usaha yang dilakukan kerajaan.

Untuk info, ketika Afghanistan diserang Rusia pada 1980-an, Malaysia telah membawa pelajar-pelajar dari negara itu ke Malaysia kerana mereka tidak dapat meneruskan pengajian dan begitu juga perang di Bosnia Herzegovina pada 1990-an, telah mendapat pertolongan dari negara ini.

Malaysia pernah menyertai misi UNOSOM dari 1993 hingga 1995, di mana 870 anggota tentera dari 19 RAMD (Mekanis) ditempatkan untuk bertugas di Mogadishu mulai 18 Jun 1993.

Pada 2018, Malaysia terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pencari suaka dan pelarian dari 59 negara yang mencari perlindungan di negara ini.

Antara bantuan kemanusiaan yang telah disumbangkan termasuk kepada Somalia (2001), Pakistan (2010), gempa bumi di Chile (2010), Tsunami Jepun (2011) dan termasuk kepada mangsa-mangsa gempa bumi melalui tabung bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) pada 2023.

Baca juga: