Oleh: Hanim Nadia
PUTRAJAYA: Tindakan Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyalahkan portal berita Suara Keadilan (SK) sebagai punca Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi sasaran kemarahan orang ramai adalah tindak balas panik.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, tindakan menuding jari itu sengaja dicipta untuk mengalihkan kontroversi yang melanda parti mereka.
“Saya rasa Wan Fayhsal berasa panik sebab sekali lagi Muhyiddin menjadi punca banyak kontroversi,” katanya kepada media di Putrajaya pada Rabu.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan mendakwa, tidak timbul isu video ucapan Muhyiddin disunting.
Malah katanya, beliau sendiri menyaksikan ucapan yang sama disiarkan di platform TikTok termasuk melalui akaun PAS.
“Saya sendiri menyaksikan ucapan Muhyiddin dalam Tik Tok Live. Kalau tak silap saya yang menyiarkan ucapan itu ialah saluran parti PAS, mungkin Harakahdaily atau akaun PAS.
“Jadi kalau nak salahkan mana-mana pihak, salahkan akaun PAS yang telah menyiar ucapan tersebut secara TikTok Live,” katanya yang juga Menteri Komunikasi.
Semalam, Wan Fayhsal menyalahkan SK sebagai punca Muhyiddin menjadi sasaran kemarahan pelbagai pihak serta mewujudkan ketegangan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang mendakwa SK telah beberapa kali bertindak menghasut dan memfitnah Muhyiddin.
Susulan dakwaan tersebut, Pemuda BERSATU membuat laporan polis ke atas portal berita tersebut.
Fahmi juga menyifatkan BERSATU seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kerana bukan sahaja kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, malah disiasat polis pula.