Oleh: Wahida Ramlan
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah meluahkan rasa kecewa dengan fitnah yang dilemparkan terhadapnya susulan kehadiran lebih 41 rakyat Palestin yang cedera bersama 86 ahli keluarga mereka termasuk kanak-kanak ke dalam negara ini.
Fitnah yang dilempar itu turut melibatkan kuota di universiti awam yang kononnya diberikan kepada rakyat Palestin dan perkara itu dianggap keterlaluan dan tidak munasabah.
Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai berkata, pengkritik ini bagaikan tidak mengambil peduli, bahawa kini lebih 34,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 77,000 tercedera sejak serangan Israel pada 7 Oktober lalu.
“Hampir 85 peratus daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal dan lebih 14,000 kanak-kanak telah terbunuh dalam perang membalas dendam,” katanya.
Mengulas mengenai bantuan yang dibelanjakan oleh kerajaan, di mana RM41.2 bilion adalah untuk penjagaan kesihatan pada 2024.
“Dengan perbelanjaan itu, peningkatan 13 peratus berbanding 2023, atau kira-kira 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang meletakkannya di tempat ketiga dalam kalangan negara-negara ASEAN yang berbuat demikian.
“Kos sara hidup terus menjadi isu, tetapi median gaji bulanan meningkat 4.9 peratus. Sudah tentu kita boleh melakukan yang lebih baik lagi, tapi ia tidak bermakna kita tidak mampu untuk membantu rakyat Palestin.
“Ringgit kita menjadi mata wang berprestasi terbaik di Asia, manakala pasaran saham telah menyaksikan lebih RM2 trilion dalam aktiviti pasaran.
“Menguruskan isu hubungan kaum adalah perkara yang rumit, terutama dalam mengimbangi hubungan antara kaum. Sudah pasti akan ada isu komuniti dan minoriti dari semasa ke semasa, tetapi kita tidak seharusnya membiarkan naratif berasaskan kaum dan agama mempertikai tindak tanduk kita,” katanya.
Tambah Wong lagi, beliau memahami kerisauan dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak mahu menyaksikan negara terheret ke dalam satu konflik, tetapi ianya tidak seharusnya bersikap apologetik dalam sokongan kita terhadap rakyat Palestin.
“Meskipun kita hanya sebuah negara kecil, tetapi kita berjiwa besar,” ujarnya.
Baca juga: