Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus memperkasa industri kelapa sawit negara bagi membantu semua pihak termasuk pekebun kecil.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, minyak sawit sahaja menyumbang lebih RM100 bilion daripada jumlah eksport negara iaitu RM160 bilion.
Jelasnya, pelbagai rancangan dirangka seperti penghasilan klon benih kelapa sawit, pengurusan ladang terbaik dan tenaga buruh yang cukup.
“Bagi meningkatkan produktiviti, kementerian melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang berusaha meningkatkan hasil dengan menggunakan benih berkualiti tinggi dan melaksanakan amalan terbaik dalam pengurusan ladang.
“Kami juga memberi tumpuan kepada penggunaan bahan berkualiti baik seperti baja dan input lain untuk mengelakkan kemerosotan dalam industri kami, seperti yang dilihat dalam sektor getah,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap sebagai panel dalam program PenTalk anjuran penerangan parti bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Rabu.
Johari turut menekankan bahawa sektor minyak sawit mengekalkan lebih 1.25 juta pekerjaan di seluruh negara, termasuk 550,000 pekebun kecil.
Dari segi pengeluaran minyak sawit, beliau berkata, Malaysia menguruskan 1.5 juta hektar tanah yang diusahakan oleh pekebun kecil, berbanding 4.2 juta hektar oleh sektor swasta.
Mengulas lanjut, beliau tidak mahu kelapa sawit yang menjadi komoditi terbesar negara ditimpa nasib seperti industri getah dan koko yang mana negara terpaksa bergantung kepada import.
“Saya terpaksa jaga kelapa sawit ini sebab saya tak nak jadi macam getah. Getah dahulu kita pengeluar utama getah dunia.
“Oleh kerana kita tak jaga dari segi getah ini, hari ini kita menjadi sebuah negara pengimport getah terbesar. Walhal dulu kita pengeksport getah asli sekarang. Kita jadi pengimport getah asli,” katanya.
Jelas beliau, dari segi sejarah, Malaysia merupakan pengeluar getah utama dunia, tetapi disebabkan pengurusan yang lemah, negara kini terpaksa mengimport getah bernilai RM6 bilion setahun.
Beliau berkata perkara yang sama berlaku untuk komoditi seperti koko, di mana Malaysia telah beralih daripada menjadi pengeksport utama kepada mengimport kuantiti yang banyak.
“Koko dulu, banyak syarikat daripada luar datang ke negara kita ini, membuat industri makanan yang pakai koko, kerana. Kita mengeluarkan koko sebanyak 300,000 tan.
“Bila saya ambil kementerian ini, saya tengok daripada 300,000 metrik tan tinggal 500 tan. Jadi apa berlaku? Dulu kita eksport koko. Kita bagi industri kita pakai. Sekarang ini kerajaan terpaksa mengimport koko bernilai RM7.8 billion.
“Tadi getah RM6 billion. Ini koko RM7.8 billion. Kerana apa? Kerana industri berkembang begitu besar. Nak perlukan koko, tapi koko tak ada, ” katanya