KKM: Penularan penyakit mpox di Singapura adalah palsu

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang ramai tidak mudah percaya berkenaan penyebaran berita palsu mengaitkan penularan penyakit cacar monyet (mpox) di Singapura.

Berita tersebut didapati tidak benar dan menggunakan imej dari insiden lama yang tidak berkaitan dengan mpox.

“Imej yang ditularkan bukan imej kes mpox tetapi merupakan imej mangsa kecederaan peluru tabur dalam artikel berita daripada satu laman sesawang luar negara pada September 2022,” kata kenyataan tersebut pada Selasa.

Tambahan lagi, penyebaran maklumat tidak sahih tersebut telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, menimbulkan rasa panik yang tidak berasas.

Dalam pada itu, KKM memohon orang ramai supaya tidak mempercayai atau menyebarkannya kerana tindakan demikian boleh mengganggu usaha pihak berkuasa dalam mengawal kesihatan awam.

KKM turut mengingatkan masyarakat supaya merujuk kepada sumber rasmi untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai mpox dan isu kesihatan lain menerusi platform rasmi KKM yang sahih dan terkini.